Friday, April 1, 2011

BERITA: Mengiktiraf seni miniatur

BARANGKALI petikan dialog romantis antara Jake dan Rose dari filem Titanic membawa maksud tersendiri bagi yang pernah menonton karya James Cameron itu. Berkesan sekali lakonan Leornardo Di Capario dan Kate Winslet hinggakan kisah cinta mereka menenggelamkan nilai sejarah dan tragedi yang melanda kapal gergasi RMS Titanic itu.

Karya yang telah memenangi 11 anugerah dengan rekod filem terlaris sepanjang masa melalui kutipan sebanyak AS$1.843 bilion (RM6.3 bilion) itu menjadi filem yang paling disukai oleh Ahmad Fahmi Ahmad Fushairi, 10.

Seandainya golongan remaja dan dewasa menganggapnya sebagai simbolik percintaan, namun bagi si cilik ini, filem itu mencetus sumber inspirasinya terhadap pengumpulan setem bercirikan kapal yang kebanyakannya dari luar negara.

"Jika dilihat dari reka bentuk kapal tersebut begitu unik sehingga mencatatkan kapal persiaran yang termahal ketika itu. Di dunia ini kita dapat lihat pelbagai bentuk kapal. Ada kapal layar, kapal selam dan kapal perang malah kapal pengangkut pesawat.

"Bila zaman berubah, teknologi perkapalan juga semakin canggih," katanya bak seorang pakar kapal dan pelayar berpengalaman.

Setem yang kebanyakannya diperoleh melalui pemberian kenalan dan juga pak ciknya, Abdul Rahim Mohd. Syafie, 51, membolehkan minda kanak-kanak itu menjangkau pengetahuan tentang sejarah dan fungsi kapal.

AHMAD FUSHAIRI (kanan), isterinya; Rosina Karim (kiri) sentiasa menyokong minat anak mereka Ahmad Fahmi (dua dari kanan). Di sebelah Ahmad Fahmi ialah Ahmad Firdaus.

Fahmi menjelaskan, dia mula berjinak-jinak dengan hobi itu semasa umurnya tujuh tahun. Apabila kerap mendengar cerita mengenai destinasi menarik, bangunan dan haiwan, dia semakin obses untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya.

"Setiap kali saudara-mara bercerita, saya akan membayangkannya. Dari situ timbul minat untuk mengetahui keadaan sebenar," katanya petah.

Tambahan pula kesudian ibu saudaranya, Rafidah Ahmad Syafie, 30, memberikan antara koleksi buku setemnya membuatkan Fahmi terfikir, jika dia tidak mampu melawat setiap destinasi menarik di dunia, lebih baik dia mengumpul setem.

Azam dan minat itulah yang mendorongnya mengumpul setem-setem yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia dan menjadi salah seorang ahli SODA (Akaun Deposit Arahan Tetap) sejak tahun lalu.

Kelebihan yang dimiliki itu membolehkannya mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari keluarannya.

"Menjadi ahli SODA begitu istimewa kerana setem dihantar terus ke rumah. Tidak perlu penat-penat beratur panjang," ujarnya yang berpendapat setem Malaysia mempunyai kelebihannya tersendiri.

Duta negara

Dia merujuk kepada siri setem kartun Kampung Boy yang disifatkannya sebagai unik. Kanak-kanak itu nyata menghargai senario santai masyarakat kampung seperti permainan tarik nipah, main guli, main baling selipar dan tenteng.

"Walaupun saya jarang bermain dengan permainan itu tetapi setidak-tidaknya saya tahu aktiviti yang pernah bapa saya lakukan ketika membesar di kampung," ujarnya yang memiliki setem dan sampul hari pertama berserta tandatangan Datuk Mohd. Nor Khalid atau Lat.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh seorang lagi peminat setem, Prof. Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob. Beliau merupakan Dekan Fakulti Teknologi Seni Lukis dan Seni Reka Industri, Universiti Industri Selangor (UNISEL).

Jelas beliau, apabila sesuatu setem dikeluarkan ia disertakan dengan katalog bagi menceritakan sejarah dan makna di sebalik penghasilan setem itu.

Misalnya, pakaian masyarakat Melayu khasnya tengkolok (destar), ia bukan sahaja dianggap sebagai aksesori atau penghias kepala bahkan mencerminkan sesuatu simbol.

"Tengkolok Diraja yang dipakai oleh sultan-sultan di Malaysia merupakan satu keunikan budaya masyarakat Melayu di negara ini. Malah, terdapat pelbagai bentuk ikatan tengkolok. Antaranya ialah ikatan Anak Gajah Menyusu, Lang Menyusur Angin dan Dendam Tak Sudah.

RAJA ZAHABUDDIN berpendapat setem masih relevan pada zaman ini.

"Kesemua ini bertujuan dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang ramai terutama generasi muda," jelasnya yang juga merupakan salah seorang pereka setem di Malaysia.

Selain itu, beliau melihat mobiliti setem dari satu tempat ke satu tempat sebagai duta bagi sesebuah negara.

"Mungkin bagi kebanyakan orang setem hanyalah kepingan kertas kecil yang ditampal di bahagian atas sampul surat dengan nilai 30 sen, 50 sen atau RM1. Malah tidak salah sekiranya dikatakan mereka hanya menganggap ia sebagai pelengkap proses penghantaran.

"Namun sebenarnya setem itu adalah seni miniatur yang diiktiraf. Keunikan yang ada padanya mampu memberikan gambaran kepada masyarakat luar terhadap negara kita. Sekiranya diamati, ia turut memberi faedah sebagai agen pelancongan," tambah bekas Pensyarah Seni Reka Grafik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu.

Aktiviti kelab filateli menurut beliau, bertindak sebagai satu alat perhubungan sosial yang luas khususnya di antara komuniti peminat dan pengumpul setem. Terdapat hampir 200 negara seluruh dunia yang mengeluarkan setem negara masing-masing. Sebagai peminat setem, mereka pasti terdorong untuk mengetahui variasinya.

Pemilik koleksi setem potret keluarga kerabat diraja British itu memberitahu, beliau pernah disindir oleh beberapa rakannya yang menganggap setem kurang bernilai pada era teknologi. Namun, Raja Zahabuddin mempunyai pandangan tersendiri.

"Setem mempunyai peminatnya yang sendiri di seluruh dunia. Sedar atau tidak, penggunaan setem masih diperlukan dalam aktiviti pengeposan terutama surat rasmi.

"Menerima sepucuk surat yang bersetem memiliki nilai kenangan yang lebih mendalam daripada penggunaan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau e-mel," kata beliau. Bak kata pepatah, lain padang lain belalangnya, lain orang lain pandangannya. Penggiat hobi tersebut, Datuk Anuar Bashah Mohd. Sahore mempunyai pandangan tersendiri.

Artifak berharga

"Mengumpul bagi saya tidak mencukupi untuk menjelaskan konteks aktiviti ini. Mengumpul menunjukkan seseorang hanya mengumpul dan meletakkan setem yang diperoleh ke dalam almari. Seolah-olah tiada yang istimewa padanya.

"Berbeza dengan minat terhadap setem. Perkataan itu sahaja membuatkan seseorang berasa teruja terhadap aktiviti yang dilakukan. Ia membuatkan kita berusaha mendapatkan sesuatu yang mungkin di luar jangkauan kita," kata beliau.

Tambah Pengarah Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad itu, dengan minat yang mendalam, seseorang itu mampu menjadikan aktiviti pengumpulan sebegini memupuk semangat ingin tahu dan lebih menarik.

Anuar menerangkan, kepada yang menggemarinya, koleksi setem tersebut seperti artifak berharga. Setiap setem yang dihasilkan mempunyai cerita masing-masing.

Beliau tidak dinafikan hobi mengumpul setem mampu menjana pendapatan, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai koleksi setem yang unik dan bersejarah.

"Setem lama yang sukar dicari mempunyai nilai yang tinggi dan harganya juga boleh mencecah hingga beratus kali ganda.

"Namun andai dibandingkan dengan usaha kita dalam mendapatkan setem tersebut apa sangatlah nilainya," ujar beliau yang telah mengumpul lebih 100,000 setem.

Anuar merumuskan, setiap setem yang beliau peroleh bak jantung keduanya. Mungkin perasaan dan perbandingan itu turut difahami oleh si cilik Fahmi, Raja Zahabuddin dan ribuan lagi peminat setem di negara ini.

sumber: kosmo

2 comments:

  1. mama zakuan

    http://mamazakuan.blogspot.com/

    i want to know more about your hobby

    how the market now

    ReplyDelete
  2. setem 5 cents north borneo/sabah tu dikeluarkan pada tahun 1964 dan nilai nya pun dlm RM10-20.00 skpg.

    ReplyDelete

Rakan Blogger

SEO